PROGRAM RAMALAN DAN AMARAN BANJIR NEGARA

PENGENALAN

Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) telah diwujudkan ekoran daripada kejadian banjir besar yang berlaku pada Disember 2014 yang telah melanda lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, Johor, Sabah dan Sarawak. Kejadian banjir tersebut telah merekodkan seramai 25 kematian dengan jumlah perpindahan melebihi 500,000 orang dan kos kemusnahan melebihi RM 2.85 bilion.


Gambarajah 1: Gambar kejadian banjir Disember 2014 di Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang

Berdasarkan kajian Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS)Updating of Condition of Flooding and Flood Damage Assessment in Malaysia, 2012 found that 10.1% daripada keluasan negara merupakan kawasan yang mudah berlaku banjir dengan hampir 5.67 juta penduduk terjejas akibat banjir. Impaknya membawa kepada kerugian harta benda melebihi RM 1.0 Bilion setahun.

 

Program PRAB akan dilaksanakan secara komprehensif di seluruh negara yang akan melibatkan pembangunan model ramalan banjir di 41 lembangan sungai utama. Program ini diharapkan akan dapat memberi kesan positif secara langsung kepada penduduk-penduduk yang terlibat banjir.

OBJEKTIF

Program PRAB telah menetapkan 4 objektif utama yang perlu dicapai iaitu:-

  1. Membangunkan sistem yang berupaya meramal kejadian banjir monsun 7 hari lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia.
  2. Meningkatkan keupayaan sistem amaran dan hebahan banjir monsun dari 6 jam kepada 2 hari lebih awal kepada agensi berkepentingan dan penduduk yang terlibat dengan banjir.
  3. Meningkatkan ketepatan amaran banjir monsun dengan mengurangkan perbezaan ramalan dan sebenar iaitu aras air lebih 1 meter kepada kurang 0.5 meter.
  4. Membangunkan sistem yang berupaya meramal dan memberi amaran kejadian banjir kilat kepada orang awam dalam tempoh 1 hingga 3 jam lebih awal dengan berdasarkan data ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia. Ramalan ini hanya memfokuskan kepada limpahan air sungai sahaja.

KOMPONEN UTAMA

Bagi mencapai objektif program PRAB, terdapat empat (4) komponen utama yang akan dilaksanakan secara bersepadu dengan menggunakan teknologi terkini. Komponen- komponen tersebut adalah seperti berikut:

  1. Membangunkan Sistem Pengesanan Data Hidrologi
  2. Membangunkan Sistem Pangkalan Data dan Infrastruktur ICT
  3. Membangunkan Sistem Ramalan dan Pemodelan Banjir
  4. Meningkatkan Sistem Amaran dan Hebahan


Gambarajah 2: Komponen-komponen utama PRAB

PERLAKSANAAN

Program PRAB dilaksanakan dalam dua fasa iaitu PRAB Fasa 1 dan PRAB Fasa 2. Ianya akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun (2015 hingga 2025) di mana bagi Projek PRAB Fasa 1 (PRABF1) telah dilaksanakan di tiga (3) lembangan sungai utama iaitu Sg. Kelantan, Sg. Terengganu dan Sg. Pahang. Bagi Projek PRAB Fasa 2, ianya telah bermula pada tahun 2019 dan dijangka akan siap pada tahun 2025. PRAB Fasa 2 akan melibatkan pembangunan model ramalan banjir di 38 lembangan sungai seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

JPS juga sedang merancang untuk meluaskan Program PRAB ini ke lembangan sungai lain di Sabah dan Sarawak bagi dilaksanakan pada Fasa 3 dan seterusnya kelak.


Gambarajah 3: Lokasi lembangan sungai terlibat dalam PRAB

TRANSFORMASI RAMALAN DAN AMARAN BANJIR

Program PRAB telah mensasarkan beberapa anjakan transformasi di dalam sistem ramalan dan amaran banjir sediada kepada yang lebih ke hadapan dan akan memberi impan yang besar kepada orang ramai.

Terdapat empat elemen utama dalam transformasi ini iaitu:

  1. Tempoh masa ramalan banjir
  2. Tempoh masa amaran banjir
  3. Penambahbaikan sistem pangkalan data ramalan banjir
  4. Liputan capaian hebahan amaran banjir

Transformasi kepada empat elemen tersebut dapat dijelaskan seperti di Gambarajah 4.


Gambarajah 4: Sasaran transformasi di dalam PRAB

FAEDAH DAN MANFAAT

Terdapat empat faedah utama yang akan diperolehi dengan terlaksananya program PRAB iaitu:

  1. Memberi tempoh masa yang mencukupi untuk agensi dan penduduk bertindak awal menghadapi banjir
  2. Mengurangkan kerugian harta benda awam dan kerajaan
  3. Meningkatkan keyakinan penduduk terutamanya mangsa banjir terhadap sistem penyampaian kerajaan yang berkesan
  4. Membolehkan agensi bertanggungjawab menyusun strategi logistik dan pemindahan penduduk dengan lebih cekap dan teratur

 

Unit Perancang dan Strategi
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN)
Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia